TOKYO, 14 APRIL – Populasi Jepun menurun kepada 120.3 juta orang setakat Oktober 2024, menurut data rasmi yang diumumkan hari ini, menandakan penurunan rekod sebanyak 898,000 orang berbanding tahun sebelumnya.
Kadar kelahiran Jepun antara yang terendah di dunia, menyebabkan tenaga kerja semakin berkurangan, jumlah pengguna menurun dan syarikat bergelut untuk merekrut pekerja.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ini adalah penurunan terbesar sejak kerajaan mula merekodkan data seumpama ini pada tahun 1950.
Kerajaan Jepun sedang berusaha menawarkan bantuan kepada keluarga muda yang ingin mempunyai anak tetapi berdepan kekangan ekonomi, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi.
“Kami faham penurunan kadar kelahiran berterusan kerana ramai yang ingin membesarkan anak tidak mampu merealisasikan hasrat mereka,” katanya dalam sidang media berkala hari ini.

Jumlah populasi Jepun, termasuk warga asing, turut mencatatkan penurunan sebanyak 550,000 orang kepada 123.8 juta — kali ke-14 berturut-turut populasi negara itu menurun, susulan kegagalan mengatasi masalah penyusutan penduduk.
Golongan muda di Jepun semakin cenderung menangguhkan perkahwinan dan berkeluarga, didorong oleh ketidakstabilan pekerjaan dan perubahan nilai sosial yang kurang menekankan kepentingan perkahwinan.
Walaupun Jepun semakin bergantung kepada tenaga kerja asing muda, dasar imigresennya kekal ketat dengan hanya membenarkan pekerja asing masuk secara sementara.
Hayashi berkata kerajaan juga berusaha menaikkan gaji golongan muda di samping menawarkan sokongan dalam penjagaan anak.
“Kami akan melaksanakan langkah-langkah menyeluruh untuk membina sebuah masyarakat di mana setiap individu yang ingin mempunyai anak boleh melakukannya dan membesarkan mereka dengan rasa tenang,” katanya. – AFP