Jepun utus menteri luar hadiri acara pelantikan

TOKYO, 6 MEI – Jepun hari ini mengumumkan bahawa menteri luarnya akan menghadiri majlis pelantikan presiden baharu Korea Selatan, Yoon Suk Yeol sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan hubungan kedua-dua buah negara kembali normal.

Meskipun keputusan untuk mengutus Menteri Luar, Yoshimasa Hayashi ke Korea Selatan memberi petanda kesanggupan Jepun untuk memperbaiki dialog bersama negara jirannya, ketidakhadiran Perdana Menteri, Fumio Kishida pada majlis tersebut menunjukkan masih ada isu yang masih belum diselesaikan.

Jepun mengutus timbalan perdana menteri pada majlis pelantikan 2013, dan perdana menteri yang berkhidmat ketika itu menghadiri dua acara sebelumnya. Tiada tetamu luar yang di undang pada 2017 bagi upacara mengangkat sumpah presiden Moon Jae-in.

Hubungan antara kedua-dua buah negara menjunam ke paras paling rendah disebabkan pertelingkahan mengenai penjajahan Jepun ke atas Semenanjung Korea pada 1910-1945, termasuk layanan buruk ke atas buruh Korea semasa waktu perang.

Hayashi akan mengadakan kunjungan dua hari ke Seoul bermula Isnin sebagai wakil khas Kishida, menurut kementerian luar, menekankan kepentingan untuk mengekalkan komunikasi dengan kerajaan baharu di Seoul. – AP

Yoshimasa Hayashi akan menjadi wakil khas Fumio Kishida bagi upacara pelantikan presiden baharu Korea Selatan di Seoul pada Isnin. – AP