Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun wajibkan syarikat sertai skim dagangan karbon

    TOKYO, 28 MEI – Parlimen Jepun hari ini meluluskan pindaan undang-undang yang mewajibkan antara 300 hingga 400 syarikat utama menyertai sistem dagangan karbon yang dijadual dilancarkan pada tahun fiskal bermula April 2026, lapor agensi berita Kyodo.

    Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Jepun ke arah transformasi hijau dan pengurangan pelepasan karbon secara menyeluruh.

    Undang-undang itu menyasarkan syarikat yang mengeluarkan 100,000 tan atau lebih karbon dioksida setahun, termasuk dalam sektor utama seperti pembuatan keluli dan automotif.

    Kerajaan menganggarkan bahawa syarikat-syarikat terbabit menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau domestik Jepun.

    Di bawah skim tersebut, setiap syarikat akan diberikan had maksimum pelepasan karbon.

    Syarikat yang melebihi had itu perlu membeli kredit karbon di pasaran, manakala syarikat yang mencatat pelepasan lebih rendah daripada had boleh menjual lebihan kredit mereka.

    Mekanisme itu direka untuk menggalakkan pengurangan pelepasan merentasi pelbagai sektor industri.

    Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa syarikat mungkin akan memindahkan kos kepada pengguna, sekali gus berpotensi menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. – Bernama

    Kemudahan di Zon Perindustrian Keihin di Kawasaki, selatan Tokyo pada 26 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda