Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun yakin mampu beri impak

    TOKYO, 19 NOV – Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata pasukannya akan menuju tahun hadapan dengan yakin bahawa mereka boleh memberi impak di Piala Dunia selepas menewaskan Bolivia 3-0 dalam perlawanan persahabatan, kelmarin.

    Skuad Moriyasu meraih kemenangan persahabatan ketiga berturut-turut mereka, termasuk kemenangan pertama ke atas Brazil, untuk menamatkan tahun ini dengan cemerlang di Stadium Nasional Jepun.

    Ia juga merupakan perlawanan tanpa bolos kedua berturut-turut mereka selepas kemenangan 2-0 ke atas Ghana pada Jumaat lalu.

    Moriyasu berkata, Jepun menyasarkan untuk memenangi Piala Dunia dan beliau percaya mereka sedang membina momentum menuju ke kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

    “Usaha yang telah kami lakukan tahun ini bermakna kami dapat mengekalkan perlawanan tanpa bolos,” kata Moriyasu, yang mengambil alih Jepun buat kali ke-100.

    “Tidak kira siapa yang akan kami lawan, terpulang kepada kami untuk bermain dan mencari gol.

    “Kemenangan hari ini memberi kami keyakinan dan menjadikan kami bersedia untuk cabaran tahun hadapan,” tambahnya.

    Gol awal daripada Daichi Kamada dari Crystal Palace telah meletakkan Jepun di landasan tepat sebelum jaringan separuh masa kedua daripada pemain gantian, Shuto Machino dan Keito Nakamura memastikan kemenangan.

    Jepun berjaya memenangi perlawanan walaupun Moriyasu membuat tujuh pertukaran daripada pasukan yang memulakan perlawanan menentang Ghana.

    “Perlawanan ini menunjukkan bahawa kami boleh menang, sesiapa sahaja yang berada dalam pasukan dan sama ada perlawanan itu berjalan seperti yang kami inginkan atau sebaliknya,” katanya. – AFP

    Aksi Yukinari Sugawara (kanan) bersaing untuk mendapatkan bola dengan Fernando Nava Ortega semasa perlawanan di Stadium Nasional di Tokyo pada 18 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda