ALOR SETAR – Keindahan pemandangan sawah padi, jerami gulung dan puluhan wau yang diterbangkan, menjadi antara tarikan baharu pelancong di Kampung Benua, Simpang Empat, dekat sini sempena cuti sekolah ini.
Tarikan baharu pada musim panas itu, merupakan inisiatif yang diusahakan sekumpulan belia kampung tersebut sejak dua bulan lalu dan kini menjadi lokasi popular bagi pengunjung untuk bergambar dan menikmati permandangan indah, khususnya di waktu petang.
Wakil belia kampung berkenaan Radzi Ahmad, 40, berkata pada awalnya, dia bersama beberapa lagi penduduk kampung datang bermain wau di kawasan sawah padi kampung itu, bagi mengisi masa lapang.
“Kami mula bermain wau kira-kira dua bulan lalu, masa itu dalam 15 wau sahaja dan orang kampung yang datang turun melihat…tetapi, selepas itu orang dari kampung lain pun turut datang bermain wau di sini dan sekarang ada sekitar 30 wau yang diterbangkan di sini, setiap hari,” katanya kepada pemberita.
Radzi berkata idea untuk membuat jerami gulung pula, datang kira-kira sebulan yang lalu apabila salah seorang rakan mereka datang mengambil jerami untuk diberikan kepada ternakan lembu.
IDEANYA DATANGNYA JERAMI
“Masa itu kami dapat idea untuk buat jerami ini dan dari situ kami ambil sikit-sikit untuk digulung menggunakan mesin…16 jerami gulung yang kecil ini kami ambil sendiri, manakala enam jerami gulung yang bersaiz besar kami minta dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“..untuk siapkan kawasan jerami ini pula dianggarkan dalam RM500 sahaja dan kos itu kami kongsi dengan golongan belia-belia di kampung ini. Selepas tiga minggu kawasan ini dibuka, memang ramai orang datang untuk bergambar di kawasan jerami gulung, selain melihat orang bermain wau,” katanya.
Radzi berkata pesta jerami gulung dan wau ini juga dapat menarik orang ramai untuk datang ke Kampung Benua bersempena cuti sekolah, selain dapat mengisi masa lapang golongan muda dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah, seperti berlumba haram.
Sementara itu, seorang pengunjung, Zulkarnaen Abdullah, 51, dari Jengka, Pahang berkata dia mengetahui mengenai pesta jerami dan wau di Kampung Benua itu, setelah dimaklumkan oleh isterinya yang melihat video mengenainya di media sosial.
“Kami enam sekeluarga datang ke Kedah untuk mengambil anak yang belajar di Kuala Nerang dan sudah beberapa kali kami berulang ke Kedah…kebetulan sudah berada di sini, isteri bantu cari lokasi menarik yang boleh dilawati di media sosial, sebelum melihat pesta di Kampung Benua ini.
PERTAMA KALI
“Memang teruja kerana di Jengka banyak sawit dan getah sahaja, jerami gulung pula, memang kali pertama tengok jadi rasa seronok. Selain jerami, ada wau juga jadi ia boleh jadi daya tarikan kepada pelancong yang datang ke Kedah dan saya harap ia dapat ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Kebun Pinang di sini, Muhammad Amirul Ammar Mohd Shahrul Anuar, 10, berkata dia datang ke pesta ini setiap hari bersama rakan-rakannya untuk melihat orang ramai bermain wau.
“Tempat ini seronok, meriah kerana ramai orang, saya pun petang-petang datang ke sini untuk melihat dan kalau bertuah dapat mencuba menerbangkan wau di situ…mereka yang duduk jauh ‘meh la’ datang ke Kampung Benua untuk bermain wau dan jerami di sini,” katanya. – Bernama