BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan terus berusaha memberigakan serta meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kesedaran awam mengenai penggunaan banner, bendera negara dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional ke arah menjaga kehormatan negara.
Sehubungan itu, Jabatan Penerangan meneruskan lagi siri Jerayawara Penggunaan Banner, Bendera Negara dan Bahan-bahan yang Mempunyai Kepentingan Nasional kali keempat yang berlangsung di ruang legar Kompleks Membeli-belah Aman Hills, Mukim Berakas B, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, program jerayawara itu diisikan dengan sesi taklimat yang disasarkan kepada pengurus-pengurus syarikat terpilih termasuk pengusaha kecil di kawasan perniagaan Kampung Manggis dan Kampung Sungai Tilong.
Taklimat disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya yang menyentuh mengenai kesalahan-kesalahan terhadap penggunaan dan tatacara betul dalam penggunaan banner, pengibaran bendera negara dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional.
Lebih 90 orang pengurus dan penyelia dari syarikat-syarikat perniagaan di kawasan perniagaan Kampung Manggis dan Kampung Sungai Tilong hadir pada jerayawara tersebut.
Jerayawara diteruskan dengan tayangan video mengenai bendera negara dan tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan diakhiri dengan sesi soal jawab.
Juga hadir bagi sesi soal jawab pada jerayawara berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Bandaran, Pejabat Peguam Negara dan Unit Stor dan Perbekalan, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
