Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sebagai usaha untuk membariga dan memberikan pendedahan mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, di sini, jerayawara itu dihadiri oleh 255 orang pelajar Tahun 7 dan Tahun 8 sekolah berkenaan.
Turut hadir pada jerayawara itu ialah Pengetua Sekolah, Dayang Norsarita binti Haji Besar, timbalan pengetua serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat Kenali ASEAN telah disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail, yang dihasratkan untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Para pelajar juga berkesempatan mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh pegawai pendidikan sekolah berkenaan, Hajah Arni binti Haji Besar.
Selain membarigakan mengenai ASEAN, jerayawara itu juga merupakan usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.