Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Para peminat kenderaan mewah dan teknologi automotif terkini berpeluang menikmati pengalaman eksklusif menerusi The Ultimate BMW Roadshow yang berlangsung hari ini hingga 12 Oktober dari jam 10 pagi hingga 10 malam di The Mall, Gadong.
Acara yang dinanti-nantikan anjuran Qaf Auto Sdn Bhd itu menampilkan pelbagai model terbaharu BMW dalam satu pameran interaktif yang memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka inovasi terkini jenama berkenaan.
Menurut pihak penganjur, acara berkenaan bukan sekadar pameran kenderaan, malah ia menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung dengan pelbagai promosi istimewa, cabutan bertuah, serta peluang memenangi hadiah eksklusif.
Antara tarikan utama ialah tawaran eksklusif bagi pengunjung yang membuat pembelian semasa acara berlangsung. Setiap pembelian model BMW tertentu akan menerima hadiah menarik termasuk iPhone 17 Pro, BMW Advanced Car Eye 3.0 Pro, bekalan minyak percuma selama setahun, serta baucar membeli-belah Supasave bernilai $500.
Selain itu, pembeli turut menerima baucar gaya hidup BMW bernilai $1,000, khas untuk pembelian yang dibuat semasa acara berkenaan berlangsung. Semua pembelian BMW juga disertakan dengan pakej percuma tiga tahun BMW Service Inclusive, tiga tahun Extended Warranty, serta tiga tahun Roadside Assistance.
Menambah kemeriahan acara, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan mendaftar di reruai BMW untuk memenangi BMW M8 GTE Ride-On Car.
Sementara itu, mereka yang ingin membawa pulang hadiah tambahan boleh menyertai aktiviti ‘Photo Opportunity’ dengan merakam gambar bersama THE M3 TOURING dan menandai akaun rasmi @bmwbrunei di media sosial untuk berpeluang memenangi BMW goodie bag.
Turut disediakan adalah sudut bergambar khas dengan pelbagai prop menarik termasuk hadiah-hadiah utama seperti iPhone 17 Pro dan baucar bahan api percuma bagi mereka yang membuat pembelian kenderaan semasa acara tersebut.
Acara ini dijangka menarik minat ramai pengunjung yang ingin merasai pengalaman automotif premium dan tawaran istimewa yang hanya tersedia sepanjang acara The Ultimate BMW Roadshow di The Mall, Gadong.
Semua di atas: Antara suasana semasa jerayawara berkenaan.
