Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara beriga maklumat ASEAN

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Dalam hasrat memberigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN kepada 331 orang pelajar Tahun 7, 8 dan 9 Sekolah Menengah Tanjong Maya di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.

    Program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Pada masa yang sama, ia juga mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Taklimat juga mempromosikan aplikasi mudah alih ‘We ASEAN’ yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

    Turut hadir Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Nazifah binti Haji Nawang; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Abdul Rahman bin Haji Jamudin, dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.

    Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan semasa taklimat tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    Sebahagian pelajar semasa menghadiri jerayawara yang berlangsung di dewan Sekolah Menengah Tanjong Maya baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda