Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan TAP telah meneruskan lagi jerayawara kepada majikan-majikan baru berdaftar yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, di sini.
Jerayawara kepada majikan itu merupakan salah satu inisiatif jangkauan bagi mempermudah lagi hal ehwal pengurusan pendaftaran serta pembayaran pekerja-pekerja mereka yang memenuhi pensyaratan skim TAP dan SCP.
Seramai 120 majikan menghadiri jerayawara selama dua hari itu yang menerangkan mengenai tanggungjawab majikan untuk mendaftar dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak di bawah skim TAP dan Skim SCP.
Jerayawara diteruskan dengan sesi taklimat mengenai dengan tatacara penggunaan perkhidmatan dalam talian TAP e-Amanah. Setiap majikan baharu yang berdaftar di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) juga akan didaftarkan secara automatik ke sistem dalam talian TAP, e-Amanah.
Semasa jerayawara itu, majikan juga diberikan tunjuk ajar tatacara menggunakan sistem e-Amanah seperti mendaftar masuk (login), membuat pendaftaran pekerja yang memenuhi pensyaratan, mengemas kini maklumat pekerja dan syarikat, membuat pembayaran caruman TAP dan SCP dan menyemak status pembayaran caruman bulanan pekerja.
Selain daripada sesi taklimat yang diadakan setiap bulan ini, TAP menerusi Unit Komunikasi juga aktif dalam memberigakan maklumat mengenai skim-skim dan perkhidmatan yang ada di bawah TAP menerusi pelbagai medium.
Selain itu, TAP juga turut aktif berkolaborasi bersama agensi-agensi yang berkenaan menerusi siri jerayawara yang diadakan di seluruh negara.
Majikan-majikan yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai jerayawara tersebut ataupun ingin mengadakan taklimat bagi pekerja-pekerja mereka ataupun mempunyai sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 dan 2382929 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel ask@tap.com.bn.
