BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Seramai 480 orang pelajar Tahun 7, 8 dan 9 dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna hari ini menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN, bertempat di dewan sekolah berkenaan.
Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Pengetua Sekolah, Timbalan-Timbalan Pengetua dan para tenaga pengajar sekolah tersebut.
Jerayawara yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI adalah untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.
Taklimat tersebut antara lain bertujuan untuk menanamkan kesedaran di kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran sekolah berkenaan, Awang Kua Beng Joo.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
Semua di atas – Suasana semasa jerayawara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN