Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara kebersihan awam tingkat kesedaran murid

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Seramai 100 murid dari Sekolah Tunas Jaya, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (STJ PGGMB) Lambak, menyertai jerayawara mengenai kesalahan membuang sampah di tempat awam anjuran Bahagian Penguatkuasaan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan 2021), Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

    Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran murid-murid sekolah rendah mengenai undang-undang kebersihan awam di negara ini, serta mendidik mereka mengenai kesan negatif pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab.

    Jerayawara tersebut menyaksikan taklimat yang disampaikan oleh dua pegawai dari bahagian tersebut, diketuai oleh Dayangku Noradinawati binti Pengiran Sulaiman dan Awang Sizali bin Mohd Yassin, dengan harapan dapat menyemai nilai kebersihan dan kepatuhan terhadap undang-undang kebersihan sejak di bangku sekolah lagi.

    Dalam ucapannya, Guru Besar sekolah, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan, menyifatkan jerayawara itu sebagai satu langkah yang tepat dalam mendidik murid-murid di peringkat rendah yang masih mudah dibentuk. Beliau turut menekankan bahawa penerapan nilai kebersihan dan pengetahuan mengenai undang-undang berkaitan kebersihan awam amat penting bagi mendidik generasi muda.

    “Murid-murid di peringkat ini dapat menerima dan memahami kepentingan menjaga kebersihan persekitaran mereka, selain mengetahui undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pesalah-pesalah yang membuang sampah sewenang-wenangnya,” katanya.

    Program tersebut turut melibatkan sesi soal jawab interaktif bersama murid-murid, yang berjaya menarik minat mereka untuk lebih memahami isu pembuangan sampah dan tanggungjawab menjaga kebersihan.

    STJ PGGMB Lambak terpilih untuk menyertai program berkenaan, dan pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Brunei dan Muara atas peluang yang diberikan untuk melibatkan murid-murid dalam usaha meningkatkan kesedaran awam.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri serta tenaga pengajar sekolah.

    Para pelajar semasa mendengarkan pengisian taklimat tersebut. – GAMBAR SERAHAN STJ PGGMB
    Antara murid yang menghadiri jerayawara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN STJ PGGMB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda