Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara Kenali ASEAN

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI, semalam, telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAPHM).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut ialah Pengetua SMPAPHM, Hajah Norwen binti Haji Brahim dan Timbalan Pengetua, Pengiran Mohammad Ariffin bin Pengiran Haji Aliuddin serta guru-guru dari sekolah berkenaan.

    Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, jerayawara berkenaan diadakan untuk memberigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para penuntut sekolah menengah di negara ini kerana mereka adalah golongan belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini.

    Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para penuntut mengenai ASEAN selain mengenal pasti sejauh mana mereka mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangunkan negara-negara anggotanya.

    Taklimat ini juga dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik di kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Taklimat juga diteruskan dengan maklumat mengenai Wawasan Brunei 2035 yang wajar diketahui oleh para penuntut mengenai strategi-strategi yang telah dirancang.

    Ia dapat meningkatkan kesedaran para penuntut tentang perkembangan negara di mata serantau serta menjadi pencetus semangat untuk memajukan tanah air agar Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan.

    Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh para pegawai dari Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan.

    Tetamu kehormat juga menyampaikan hadiah-hadiah kepada 10 orang penuntut yang berjaya menjawab Kuiz ASEAN dan kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Hajah Norwen.

    Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan agar penuntut dapat menghayati fungsi dan tujuan ASEAN serta mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para penuntut di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda