Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Seramai 247 orang pelajar Tahun 7 dan 8 Sekolah Menengah (SM) Masin telah menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.
Jerayawara tersebut dihasratkan untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.
Program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Pada masa yang sama juga, ia dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
Juga hadir ialah timbalan pengetua I, timbalan pengetua II dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat Kenali ASEAN telah disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Kuiz ASEAN turut diadakan untuk mengenal pasti sejauh mana pelajar-pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranan pertubuhan tersebut dalam membangun negara-negara anggotanya.