Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Dalam hasratnya untuk membarigakan dan memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), melalui Meja Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Berakas (SMB), hari ini.
Taklimat jerayawara yang dihadiri oleh 438 orang pelajar Tahun 7, 8 dan 9 itu telah disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.
Menerusi taklimat berkenaan, beliau antaranya mempromosikan mengenai aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video. Aplikasi ini merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI yang boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Hal ini juga diharap dapat menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Pada masa yang sama, program ini juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
Turut hadir pada jerayawara berkenaan ialah Timbalan Pengetua Akademik, SMB, Awang Mohammad Saiful Azhar bin Haji Moksin; Guru Kanan Aktiviti Kokurikulum, SMB, Hajah Noorlelawaty binti Haji Mohd Yassin; dan para tenaga pengajar sekolah tersebut.



