BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Seramai 411 pelajar Tahun 7 dan 8 Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) telah menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengetua Sekolah SMSAB, Hajah Khadijah binti Haji Awang Mohd Salleh dan para tenaga pengajar.
Jerayawara yang diadakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI adalah sebagai usaha untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail, yang antara lain menanamkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN, Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti. Para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN.
Ia juga dihasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN bagi menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Pada masa yang sama juga ia dapat mengukuhkan hubungan antara jabatan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.