Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara Kenali ASEAN diteruskan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Jabatan Penerangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Bagi meneruskan usaha menyuntik semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan penuntut sekolah di samping sama-sama menghayati fungsi dan tujuan penubuhan ASEAN, Jabatan Penerangan telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN, kelmarin.

    Jerayawara yang dianjurkan menerusi Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI itu telah diadakan di Dewan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), Bandar Seri Begawan.

    Hadir pada acara tersebut ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran Maktab SOAS, Dayang Krestina binti Haji Daud, yang turut dihadiri oleh kira-kira 400 orang penuntut bersama guru-guru di maktab berkenaan.

    Jerayawara juga menyaksikan taklimat bertajuk Kenali ASEAN yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan.

    Taklimat tersebut adalah bertujuan untuk memberi pendedahan meluas mengenai maklumat asas berhubungan ASEAN kepada para penuntut selaku pewaris kesinambungan bangsa yang memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara.

    Jerayawara tersebut juga dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan di kalangan para penuntut berkaitan ASEAN selain mengenal pasti sejauh mana pengetahuan mereka mengenai ASEAN dan peranan organisasi dalam membangun negara-negara anggotanya.

    Taklimat itu juga diharap dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik di kalangan para penuntut sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Taklimat diteruskan dengan maklumat mengenai Wawasan Brunei 2035 yang wajar diketahui oleh para penuntut bagi meningkatkan kesedaran tentang perkembangan negara pada peringkat serantau serta sebagai pencetus semangat untuk memajukan tanah air supaya Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan.

    Pada majlis berkenaan, Kuiz ASEAN turut diadakan di mana hadiah bagi 10 orang pemenang telah disampaikan oleh Dayang Krestina.

    Taklimat ‘Kenali ASEAN’ disampaikan oleh Awang Abdul Karim.
    Antara penuntut yang hadir di jerayawara berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda