Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara Kenali Bendera Negara

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan buat julung kalinya mengendalikan Jerayawara Penggunaan Kain Rentang, Bendera dan Bahan-bahan yang Mempunyai Kepentingan Nasional di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, hari ini.

    Lebih kurang 100 orang yang terdiri daripada pengurus dan penyelia dari syarikat-syarikat percetakan dan syarikat-syarikat pembinaan di Daerah Brunei dan Muara menghadiri sesi jerayawara berkenaan.

    Objektif jerayawara berkenaan adalah untuk meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kesedaran awam mengenai penggunaan bendera negara dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional demi menjaga kehormatan negara.

    Selain itu ia juga bertujuan untuk menanamkan tanggungjawab, menghormati dan melindungi integriti bendera negara dan panji-panji Negara Brunei Darussalam pada setiap masa dan bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan kain rentang, bendera negara dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional.

    Pegawai Penerangan Jabatan Penerangan memberikan taklimat mengenai penggunaan kain rentang, bendera negara dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional.
    Antara mereka yang hadir mendengarkan taklimat yang diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan kelmarin.

    Jerayawara berkenaan telah diisikan dengan taklimat yang menyentuh mengenai tatacara betul penggunaan kain rentang, pengibaran bendera negara dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Jabatan Penerangan, Awang Musa bin Mohiddin.

    Selain itu, tayangan video mengenai bendera negara dan tatacara menaik-kibarkan bendera negara juga diadakan.

    Jerayawara diakhiri dengan sesi soal jawab.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda