Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara Kesedaran Kewangan dilancarkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Pendidikan kewangan merupakan tonggak penting bagi membina masyarakat yang celik kewangan dan hendaklah bermula pada usia muda.

    “Dengan itu, saya berharap acara hari ini akan memberi inspirasi kepada para pelajar untuk mengurus kewangan dengan lebih bijak agar dapat menikmati kelestarian urusan kewangan sesudah dewasa.”

    Harapan itu disuarakan oleh Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Jerayawara Kesedaran Kewangan bersempena Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD) 2025 yang berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini.

    Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu menyampaikan ucapan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim selaku urusetia bagi Majlis Celik Kewangan Kebangsaan (MKCK) serta ahli-ahli MKCK, pegawai kanan kerajaan dan wakil daripada agensi-agensi rakan kongsi.

    Majlis pelancaran berkenaan menandakan permulaan acara selama dua hari yang dianjurkan bersama oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Kementerian Pendidikan yang membawa tema Bijak Wang, Selamat Secara Digital.

    Jerayawara itu bermatlamat untuk membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan yang praktikal melalui pengalaman pembelajaran berasaskan aktiviti yang interaktif.

    Jerayawara berkenaan menyasarkan pelajar Tahun 7,8,9,10 dan 12 dari keempat-empat daerah dengan tumpuan kepada para pelajar dari kawasan pendalaman dan kurang mendapat akses rangkuman kewangan.

    Hajah Rashidah dalam ucapan alu-aluannya turut menekankan kepentingan memperkasa golongan belia dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi celik kewangan dan selamat secara digital.

    Inisiatif itu mencerminkan komitmen BDCB dalam memupuk generasi yang celik kewangan dan berdaya tahan digital dengan membekalkan pelajar dengan pengetahuan praktikal untuk mengurus kewangan dengan bijak serta melindungi diri dalam landskap kewangan digital yang semakin berkembang.

    Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran Usinwise, satu jenama rasmi bagi kempen celik kewangan kebangsaan. Usinwise melambangkan visi kebangsaan yang dikongsi bersama untuk membina masyarakat yang celik kewangan dan berdaya tahan dengan menghubungkan rakyat Brunei kepada pendidikan kewangan yang dipercayai serta mudah diakses.

    Melalui inisiatif tersebut, orang ramai akan diperkasakan dengan alat dan pengetahuan untuk meningkatkan kesedaran mereka dalam penjimatan, perancangan belanjawan, pelaburan, perancangan persaraan dan keselamatan digital, sekali gus, memperkukuh celik kewangan dan kesejahteraan kewangan negara.

    Acara diteruskan dengan lawatan ke pameran yang menyertai jerayawara berkenaan. Jerayawara tahun ini menampilkan Financial Maze iaitu pengalaman imersif di mana para pelajar akan melalui beberapa pameran yang dibahagikan kepada sektor-sektor bertema.

    Atas & Bawah: Tetamu kehormat melawat antara pameran yang disediakan.

    Setiap sektor menawarkan aktiviti yang bertujuan untuk membina pengetahuan dan tabiat kewangan melalui kaedah yang menyeronokkan dan mudah diakses. Antara pihak pempamer termasuk BDCB, Pasukan Polis Diraja Brunei, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Cyber Security Brunei, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Islam Brnei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri, Standard Chartered Bank, Bank Usahawan, Insurans Islam TAIB, Syarikat Takaful Brunei Darussalam, AIA Brunei, BIBD Securities, Standard Chartered Securities, National Digital Payment Network (ndpx) dan Datastream Digital (DST).

    Aktiviti-aktiviti berkenaan merangkumi topik seperti perlindungan pengguna kewangan kesedaran digital, perbankan, perancangan persaraan, takaful, pelaburan dan keusahawanan.

    Pelajar-pelajar dan guru-guru yang telah disenarai pendek dalam pertandingan FIN-novators, iaitu cabaran inovasi di bawah NFLD 2025 yang dilancarkan pada Julai lalu, turut mengetengahkan pameran mereka di Financial Maze.

    Pameran tersebut menampilkan permainan interaktif yang direka untuk mempromosikan celik kewangan secara kreatif. Kehadiran mereka dalam maze itu memberi peluang kepada para pengunjung untuk mencuba sendiri idea-idea berkenaan serta merasai pendekatan inovatif dalam pendidikan kewangan.

    Sesi bergambar ramai semasa majlis pelancaran berkenaan.

    Jerayawara Kesedaran Kewangan NFLD 2025 merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan BDCB untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab BDCB dalam memupuk kemahiran pengurusan kewangan dan tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab, memperkukuhkan celik kewangan digital dan perlindungan pengguna, menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dengan jangkauan meliputi pelajar dari semua daerah serta memastikan ilmu kewangan yang diperoleh dapat digunakan dalam kehidupan sebenar.

    Semua di atas: Antara aktiviti yang disertai para pelajar dalam pameran berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda