TEMBURONG, 27 Feb – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah meneruskan lagi jerayawara kesedaran awam mengenai prosedur pengimportan dan pengeksportan komoditi-komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan ke Daerah Temburong, hari ini, yang sekali gus melengkapkan sesi jerayawara tersebut di keempat-empat daerah.
Menurut kenyataan yang diterima, jerayawara berkenaan telah diadakan di Dewan Serba Guna Kompleks Bumiputra, Pekan Bangar yang dihadiri oleh para pengusaha-pengusaha pertanian, perikanan dan perhutanan khususnya para pengusaha pengimport dan pengeksport yang menetap di daerah ini serta wakil-wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, ahli majlis mesyuarat negara, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli daripada persatuan majlis perundingan kampung (MPK).
Dalam jerayawara tersebut, sesi taklimat dan penerangan telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dari KSSUP, yang menjelaskan mengenai prosedur dan peraturan mengimport serta mengeksport komoditi-komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan termasuklah bahan-bahan yang berkaitan dengannya seperti baja, racun kimia pertanian, makanan ternakan, produk-produk perikanan, produk-produk perhutanan dan sebagainya.
Menerusi taklimat itu, ia adalah diharapkan akan dapat menyerapkan dan memberigakan dengan jelas tentang kepentingan, tatacara, pematuhan syarat-syarat kerajaan dalam pengimportan dan pengeksportan seperti prosedur permohonan permit atau lesen import dan eksport bagi komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan sama ada secara persendirian ataupun komersial.
Taklimat yang diberikan juga menjelaskan tentang prosedur pindah alih (transit) bagi komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan di antara Daerah Temburong dengan Daerah Brunei dan Muara melalui Sarawak.
Selain itu, jerayawara juga bertujuan untuk mengurangkan kes-kes ketidakpatuhan (non-compliance) dalam proses import dan eksport komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan terutama kes-kes seperti yang pernah terjadi sebelumnya di pos-pos kawalan darat, lapangan terbang, pelabuhan dan melalui mel udara.
Syarat-syarat import dan eksport bagi komoditi-komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan yang diterangkan tersebut adalah berpandukan kepada langkah-langkah Sanitary and Phytosanitary (SPS) antarabangsa yang telah ditetapkan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti World Organisation for Animal Health (OIE), International Plant Protection Convention (IPPC) dan CODEX Alimentarius.
Penerangan yang disampaikan adalah dikhususkan kepada orang ramai terutamanya kepada pengusaha-pengusaha tempatan, syarikat pengimport dan pengeksport komersil serta agensi penguatkuasaan yang bertugas di pos-pos kawalan rentas sempadan khusus di Daerah Temburong.
Taklimat juga menjelaskan bahawa kuantiti pengimportan serta pengeksportan komoditi-komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan adalah tertakluk kepada syarat-syarat import dan eksport yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan yang terlibat di bawah KSSUP.
Seperti jerayawara di Daerah Belait sebelumnya, taklimat meliputi kepentingan untuk mendapatkan Sijil Kesihatan Haiwan (Veterinary Health Certificate) dan Sijil Fitosanitari atau Sijil Kesihatan Tumbuhan (Phytosanitary Certificate) daripada pihak-pihak yang berwajib di negara-negara pengeksport.
Dokumen berkenaan merupakan pengesahan atau jaminan dari negara pengeksport bahawa komoditi pertanian, perikanan atau perhutanan yang di eksport ke Negara Brunei Darussalam adalah selamat dan bebas daripada sebarang penyakit, agen pembawa penyakit atau musuh perosak tumbuhan.
Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh KSSUP dalam menyediakan syarat-syarat pengimportan adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan bagi orang ramai serta memastikan tiada ancaman-ancaman negatif terhadap industri pengeluaran komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan tempatan.
Secara amnya, permit atau lesen import akan dikeluarkan tertakluk kepada jenis komoditi atau barangan yang akan diimport dan tujuan pengimportannya, secara persendirian atau komersil.
Bagi pengimportan komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan secara komersil, proses permohonan permit atau lesen import boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan online BDNSW (Brunei Darussalam National Single Window) dengan melayari laman sesawang di www.bdnsw.gov.bn.
Bagi pengimportan dan pengeksportan persendirian komoditi pertanian dan perikanan serta pengeksportan secara komersil komoditi perikanan orang ramai bolehlah memohon permit dan lesen eksport melalui kaedah online di http://biz.bruneimipr.gov.bn/eMIPR atau melayari laman sesawang www.mprt.gov.bn.
Manakala, bagi pengimportan untuk persendirian dan pengeksportan produk perhutanan (sama ada untuk persendirian atau komersil), orang ramai boleh memohon permit melalui Kaunter Permit & Lesen di Tingkat 2, Ibu Pejabat Perhutanan, di KSSUP.