Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara kukuhkan kefahaman pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Syariah, baru-baru ini, telah mengadakan jerayawara pemberigaan pengukuhan kefahaman maqasid Syariah bagi seluruh warga KUPU SB di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Abang Haji Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra’es, Datin Dr Haji Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, pegawai-pegawai utama, pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

    Bertemakan ‘Pengukuhan Maqasid Syariah Pemangkin Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara yang berterusan’, jerayawara bermatlamat untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada seluruh warga KUPU SB dan orang awam nanti mengenai tujuan dan hikmah pensyariatan sesuatu hukum sama ada secara keseluruhannya atau sebahagiannya.

    Selain itu, untuk dijadikan sebagai panduan dan asas dalam perkhidmatan dan mengamalkan syariat Islam yang bersifat global dan relevan untuk setiap keadaan, masa dan zaman.

    Dekan Fakulti Syariah, KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa jerayawara itu diungkayahkan sebagai inisiatif dan usaha KUPU SB dalam memberikan sumbangan dalam sama-sama merealisasikan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menginginkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang benar-benar memenuhi ciri-ciri ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’ yang sejahtera lagi bahagia di bawah pemeliharaan Allah SWT.

    Hasrat ini, tambah beliau, mampu direalisasikan dengan melahirkan masyarakat yang merasakan keistimewaan Islam, meyakini syariatnya dan mengaplikasikan tuntutannya dalam kehidupan seharian termasuklah dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa, berkerajaan dan bernegara.

    Ini juga termasuk menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menekankan kepentingan pengukuhan Maqasid Syariah sebagai pemangkin ke arah memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara terus berkekalan.

    Beliau turut memberitahu bahawa jerayawara berkenaan akan dilaratkan ke kementerian-kementerian dan jabatan yang mana akan dilaksanakan pada tahun depan. Turut diadakan ialah bengkel atau kursus di kementerian dan jabatan yang berkaitan dengan pengukuhan kefahaman Maqasid Syariah.

    Dr Haji Noralizam menyampaikan ucapan semasa jerayawara pemberigaan pengukuhan kefahaman maqasid Syariah bagi seluruh warga KUPU SB.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda