Oleh Daniel Lim
BELAIT, 12 MEI – Para pelajar Sekolah Arab Belait (SAB) mendapat pendedahan baharu dalam menghayati kepentingan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian menerusi pelbagai permainan dan aktiviti menarik yang diadakan sempena Jerayawara Ilmu bertempat di surau sekolah berkenaan baru- baru ini.
Program jerayawara tersebut dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Perpustakaan DBP Seria, dan melibatkan pelajar Tahun 5 hingga Tahun 8. Para pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang menggalakkan mereka meneroka penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara serta hubungannya dengan Bahasa Melayu Brunei yang turut digunakan secara meluas.
Acara dimulakan dengan sesi bacaan selama 10 minit di mana pelajar diberikan majalah Mekar terbitan DBP untuk dibaca sebelum beralih kepada aktiviti-aktiviti permainan.
Menurut Guru Kanan Akademik SAB, Norahati binti Haji Tongkat, program jerayawara berkenaan memberi ruang kepada para pelajar untuk mengembangkan kemahiran berbahasa dan berkomunikasi melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan di luar bilik darjah.
“Selain itu, jerayawara ini juga membuka peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan dan semangat kerjasama dalam kalangan mereka melalui aktiviti berkumpulan yang santai dan berfaedah,” jelas beliau.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Roda Bahasa, Word Bingo, dan Longest is the Winner, yang kesemuanya direka untuk memberi pengalaman pembelajaran Bahasa Melayu yang menyeronokkan dan bersifat interaktif.
Penganjuran jerayawara berkenaan bukan sahaja sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang akan datang, tetapi juga sebagai langkah menanam rasa cinta dan kagum terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar.
“Diharapkan jerayawara seperti ini dapat memberi motivasi kepada para pelajar dalam pembelajaran mereka, terutama dalam suasana yang santai, interaktif dan menyeronokkan. Kami juga ingin memupuk sikap positif terhadap pembelajaran dan berharap kerjasama seperti ini antara DBP dan pihak sekolah dapat diteruskan pada masa hadapan,” tambah Norahati.
Semua di atas: Antara aktiviti-aktiviti semasa program berkenaan.