Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Dengan hasrat untuk memupuk minat pelajar untuk menceburi profesi perakaunan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants (BICPA) mengadakan Jerayawara Bagi Meningkatkan Kesedaran Tentang Profesi Perakaunan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei (UTB), kelmarin.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/08/Kesedaran-2.jpg)
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, di sini, menyatakan jerayawara berkenaan bermatlamat untuk memupuk minat pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di UTB, Universiti Brunei Darussalam, Politeknik Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Kolej International Graduate Studies, Laksamana College of Business, Cosmopolitan College of Commerce and Technology, Kemuda Institute dan Micronet International College untuk menceburi profesi perakaunan setelah tamat pengajian nanti.
Usaha itu diharap akan membantu memenuhi keperluan bekalan profesional yang berkelayakan dalam sektor perakaunan di pelbagai industri di negara ini.
Jerayawara berkenaan menyaksikan penyampaian ceramah oleh Setiausaha BICPA dan Pengarah BICPA Academy, Dayang Adeline Lau Pik Wen di mana beliau antara lain menjelaskan mengenai kelebihan kelayakan profesional dan laluan kerjaya yang pelbagai dalam bidang perakaunan iaitu daripada pengauditan dan nasihat cukai kepada analisis kewangan dan perundingan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/08/Kesedaran-4.jpg)
Jerayawara berkenaan turut menyaksikan perkongsian daripada Rakan Kongsi Deloitte & Touche dan Presiden BICPA, Dayangku Hajah Siti Khadijah binti Pengiran Haji Moksin mengenai dengan pengalaman hidup serta perjalanan beliau dalam bidang perakaunan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/08/Kesedaran-3.jpg)