Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jerayawara pelihara warisan budaya bangsa

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 16 MEI – Lebih 100 pelajar Tahun 7, 9 dan 10 Sekolah St Margaret bersama guru dan kakitangan telah menyertai jerayawara kebudayaan yang telah berlangsung hari ini di dewan serba guna sekolah tersebut.

    Jerayawara anjuran Jabatan Bahasa Melayu sekolah berkenaan diadakan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersama beberapa buah jabatan di bawahnya yang terdiri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Sejarah Brunei (PSB), Jabatan Muzium-muzium (JMM) dan Pusat Pembangunan Belia (PPB).

    Dalam ucapan perasmian, Pengetua Sekolah, Liew Yong Kim telah menekankan kepentingan pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah itu tentang tradisi dan budaya yang sebati dalam sejarah negara.

    “Pagi ini, kami benar-benar berbesar hati untuk mengalu-alukan rombongan daripada KKBS ke sekolah kami untuk mempamerkan pelbagai tradisi dan hubungannya dengan sejarah dan budaya negara kita,” katanya.

    Beliau menambah bahawa integrasi antara masa lalu dan masa kini, terutama dalam era pembangunan moden adalah penting dalam membentuk kemakmuran dan pertumbuhan masa depan negara.

    Beberapa pelajar melawat gerai dan mengambil bahagian dalam permainan dan aktiviti semasa jerayawara berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Salah seorang pelajar cuba bermain gulintangan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    “Aspek-aspek tertentu seperti budaya dan tradisi tidak hanya diukur melalui fizikal dan material, sebaliknya perlu dilaksanakan secara semula jadi dan disepadukan dengan pertumbuhan minda golongan muda dan pelajar,” tambahnya.

    Beliau berharap jerayawara seumpamanya akan dapat membantu generasi muda mem-peroleh pemahaman yang lebih baik apabila mereka berinteraksi dengan banyak budaya dan tradisi bersejarah bersama-sama wakil daripada KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Jerayawara diteruskan dengan persembahan gulintangan yang mendapat sambutan menggalakkan serta tarian tradisional yang turut disertai oleh pelajar.

    Para pelajar kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melawat petak yang telah disediakan oleh setiap jabatan dan bahagian, di mana setiap petak mengetengahkan tradisi dan budaya tertentu Brunei sama ada dari segi permainan termasuk aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.

    Menerusi jerayawara yang diadakan itu, mereka dapat melihat dan mengetahui secara langsung tentang tradisi dan budaya yang terdapat di negara ini.

    Jerayawara bertujuan untuk membangunkan dan mengekalkan budaya bangsa, di samping memelihara warisan dengan menurunkannya kepada generasi muda agar mereka menghargai budaya bangsa melalui konsep pendidikan sekali gus menggalakkan pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Melayu Islam Beraja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...