Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Program jerayawara bersempena pengambilan pelajar baharu peringkat menengah Tahun 7 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) sesi pengajian 2022 diteruskan lagi hari ini di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba.
Antara objektif program jerayawara tersebut adalah untuk memperkenalkan institut tahfiz dengan lebih lanjut selain sebagai salah satu inisiatif pembarigaan dan pemakluman kepada orang ramai mengenai pengambilan pelajar-pelajar baharu ke institut berkenaan.
Selain itu, ia bertujuan memberikan pendedahan dan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mempelajari ilmu Al-Quran dan seterusnya melahirkan huffaz Al-Quran.
Di samping itu, ia dihasratkan bagi menambahkan lagi pelajar-pelajar yang mempunyai kemampuan dan kebolehan dalam menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran serta melahirkan huffaz Al-Quran yang akan menceburi pelbagai bidang seperti pengajian Islam, sains dan teknologi.
Antara pengisian jerayawara termasuk penerangan mengenai latar belakang ITQSHHB seterusnya mempromosikan pengambilan pelajar baharu di peringkat menengah selain berkongsi keistimewaan dan kelebihan huffaz Al-Quran dan kaedah menghafaz Al-Quran selain dimeriahkan dengan pameran mini ITQSHHB.
Tawaran pengambilan pelajar baharu (peringkat menengah Tahun 7) institut berkenaan bagi sesi pengajian 2022 dibukakan bermula 14 Jun lalu hingga 11 Ogos depan dan borang boleh diperolehi di Pejabat Pentadbiran ITQSHHB atau dimuat turun melalui laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu www.kheu.gov.bn.
Tarikh mengembalikan borang yang telah lengkap diisi adalah pada 2 hingga 11 Ogos depan bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang waktu bekerja.
Jerayawara seterusnya akan diadakan di Daerah Tutong di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai Tutong pada 10 Julai dan Daerah Temburong di Sekolah Persediaan Arab Temburong pada 13 Julai.
