Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Belia di Daerah Brunei dan Muara dialu-alukan untuk berkunjung dan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) semasa Jerayawara PKBN yang diadakan di The Mall, Gadong bermula hari ini hingga 4 September.
Jerayawara dihasratkan untuk memberigakan mengenai PKBN kepada penduduk terutama belia dan beliawanis yang bermastautin di daerah ini serta memberikan peluang kepada mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latihan PKBN.
Di samping itu, ia turut membuka sesi pendaftaran serta memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil borang PKBN bagi pengambilan ke-11.
Sesi pendaftaran bagi PKBN telah dibukakan pada 11 Julai hingga 12 November dengan borang penyertaan boleh didapatkan melalui Jerayawara PKBN di sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi termasuk pusat-pusat membeli belah di keempat-empat daerah.
Mereka juga boleh mendaftar dan mengisi maklumat peribadi di portal YSNet dengan melayari pautan YSNet.gov.bn dan memuat turun borang penyertaan di laman sesawang PKBN di pkbn.gov.bn. Borang juga boleh didapatkan di Ibu Pejabat Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kem Latihan PKBN, Blok 1, Batu Apoi, Temburong.
Jerayawara itu dilaksanakan setiap tahun di The Mall, Gadong sebagai salah satu kaedah untuk memberigakan latihan di Daerah Brunei dan Muara.
Para belia juga dihasratkan supaya akan mengambil kesempatan dan peluang itu untuk berkunjung ke tapak jerayawara bagi sesi pendaftaran dan mengambil borang.