Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Disebabkan sambutan yang menggalakkan bagi jerayawara pertama iaitu Jerayawara Program Ijazah Pengkomputeran UTB-MIC yang diadakan di Kompleks Perpustakaan Universiti Teknologi Brunei (UTB) baru-baru ini, Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) mengadakan satu lagi bengkel bagi lima buah sekolah yang berlangsung di Kompleks Perpustakaan UTB, kelmarin.
Bengkel bertajuk Exploring the Future Through IoT and Emerging Technologies yang mengetengahkan mengenai Internet of Things (IoT), realiti maya (VR) dan augmented reality (AR) itu dihadiri oleh seramai 149 orang pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Semasa bengkel berkenaan, para pelajar menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk menggunakan peranti realiti maya dan mengambil gambar dalam sebuah persekitaran AR.
Manakala itu, sesi soal dan jawab turut diadakan untuk memberikan peluang kepada para pelajar mengetahui dengan lebih mendalam mengenai tajuk-tajuk yang disampaikan.
Sebelum ini, MIC mengadakan bengkel istimewa setiap tahun di Kampung Gadong semasa Bulan Melawat Micronet sebagai kaedah tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat di mana mereka menyampaikan pelbagai macam topik setiap tahun serta mendapat respons yang amat menggalakkan daripada pelajar.
MIC berharap untuk mengadakan lebih banyak bengkel serupa di masa akan datang bagi manfaat para pelajar di mana mereka turut berharap para pelajar yang menghadiri bengkel berkenaan dapat memperkayakan lagi ilmu pengetahuan teknologi mereka menerusi bengkel itu.
