Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara promosi perkhidmatan RTB

    Oleh Sim Y. H. –

    TUTONG, 9 OKT – Dengan matlamat untuk memberikan kefahaman dan mempromosikan produk serta perkhidmatan Radio Televisyen Brunei (RTB) kepada orang ramai, Jabatan RTB mengadakan Jerayawara Badudun Bersama Biskita yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, hari ini.

    Hadir semasa jerayawara berkenaan ialah Pemangku Pengarah RTB, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Muhammad Kifli; Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas, Jabatan Daerah Tutong, Awang Muhammad Syahman bin Majid; pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong dan RTB serta penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung.

    Jerayawara berkenaan menyaksikan penyampaian taklimat dan sesi soal jawab yang dihasratkan untuk memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengongsikan pandangan dan mendapatkan penjelasan lanjut khususnya mengenai perkembangan siaran dan rancangan-rancangan RTB.

    Menerusi taklimat yang disampaikan, para jemputan dan orang ramai yang hadir diberikan penjelasan yang bermaklumat mengenai peranan utama dan perkembangan RTB, RTBGo, rancangan TV dan radio serta perkhidmatan pemancaran TV dan radio.

    Mewakili RTB semasa sesi soal jawab berkenaan ialah Pemangku Ketua Rancangan TV, Dayang Aminah binti Metali; Pemangku Ketua Rancangan Radio, Dayang Nur Afidah binti Haji Abdul Malik; serta Pemangku Ketua Siaran dan Kawalan Saluran, Awang Mohammad Shamsul bin Haji Sanif.

    Beberapa aktiviti sampingan juga diadakan sepanjang jerayawara berkenaan seperti galeri pameran dari Bahagian Pentadbiran, Bahagian Rancangan TV, Bahagian Rancangan Radio, Bahagian Kejuruteraan, Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Bahagian Pemasaran dan Promosi serta Perkhidmatan RTBGo.

    Dayang Aminah mewakili RTB semasa sesi soal jawab. – GAMBAR SERAHAN RTB
    GAMBAR SERAHAN RTB
    GAMBAR SERAHAN RTB
    GAMBAR SERAHAN RTB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda