Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara SKN persiapkan penghulu, ketua kampung

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 30 JUN – Dalam usaha untuk mempersiapkan para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara bagi pelaksanaan Sistem Kebajikan Negara (SKN), jerayawara yang telah bermula di Daerah Brunei dan Muara diteruskan lagi di Daerah Belait, hari ini.

    Hadir pada jerayawara yang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Belait itu ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku ketua Kampung Labi 1 serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait.

    Jerayawara mendengarkan ucapan ringkas daripada Dr Hajah May Fa’ezah yang menggariskan objektif jerayawara serta menjelaskan mengenai SKN yang merupakan pangkalan data berpusat untuk memastikan semua penduduk yang layak, mendapat bantuan.

    Semasa mengendalikan jerayawara, Dayang Saidah telah menggariskan pelbagai ciri dan manfaat SKN serta maklumat mengenai bagaimana untuk menggunakan laman sesawang www.skn.gov.bn, terutamanya proses pendaftaran dan bagaimana membantu mereka yang tidak celik teknologi.

    Hadir ke jerayawara tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid dan Yang Berhormat Awang Hanapi serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait.

    Di samping itu, jerayawara juga merupakan satu peluang bagi hadirin untuk mengemukakan sebarang soalan mengenai sistem berkenaan kepada agensi-agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pembangunan Masyarakat di KKBS, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Majlis Ugama Islam Brunei di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Dynamik Technologies Sdn Bhd.

    Para hadirin juga dapat menggunakan laman sesawang SKN untuk membiasakan diri dengan pelbagai proses yang telah dibincangkan menerusi laman sesawang simulasi yang ditunjukkan pada sejumlah komputer yang dipasang semasa jerayawara tersebut.

    Yang Berhormat Awang Hanapi ketika ditemu bual menyatakan sokongannya terhadap sistem baharu berkenaan yang bermatlamat untuk menyatukan pelbagai langkah yang diperlukan bagi mereka yang memerlukan bantuan, pada masa sama memastikan rakyat dan penduduk yang memerlukan bantuan tidak terlepas pandang.

    Setelah menghadiri jerayawara berkenaan, beliau berkata, sistem berkenaan boleh memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan bantuan dengan menekankan mengenai pengemaskinian maklumat yang mudah bagi para pemohon dengan menggunakan teknologi-teknologi moden sebagai sistem berpusat.

    Menurutnya, sistem seperti SKN mempunyai potensi untuk mempercepatkan proses bagi ramai pemohon yang memerlukan bantuan kerana daripada mengunjungi pelbagai jabatan dan agensi, mereka hanya perlu melayari laman sesawang berkenaan untuk membuat pendaftaran.

    Mengulas mengenai mereka yang tidak celik teknologi dalam melayari dan mendaftar secara dalam talian, yang dibangkitkan semasa jerayawara itu, Yang Berhormat Awang Hanapi berkata, menjadi tugas penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jabatan-jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu para pemohon berkenaan untuk mendaftar.

    Beliau melahirkan harapan, dengan SKN akan mula menerima permohonan pada 15 Julai, semua jabatan-jabatan dan agensi kerajaan akan bekerjasama untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan untuk mengurangkan beban mereka.

    Jerayawara selanjutnya akan diadakan esok di Dewan Utama Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong dari pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang manakala itu, di Daerah Temburong, ia akan diadakan pada 2 Julai di Dewan Kemasyarakatan Pejabat Daerah Temburong dari pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda