Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara tingkat kesedaran tentang jenayah pemerdagangan orang

    Oleh Sim Y. H.

    TEMBURONG, 24 JUN – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengadakan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) yang berlangsung di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, menyatakan jerayawara berkenaan dihadiri seramai 40 orang yang terdiri daripada para penghulu mukim dan ketua kampung serta ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau merangkap Pemangku Penghulu Mukim Zon 1 Daerah Temburong.

    Taklimat berkenaan bertujuan untuk memberikan pengetahuan yang lebih dalam dan memahami secara lebih terperinci tentang mengenal pasti elemen-elemen dan petunjuk mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam.

    Antara perkara yang dibentangkan dalam taklimat yang disampaikan oleh anggota-anggota USPM berkenaan adalah fungsi dan peranan USPM, perkongsian kajian kes bagi kes-kes pemerdagangan orang yang telah berjaya dihadapkan ke muka pengadilan yang memenuhi semua petunjuk unsur-unsur pemerdagangan orang yang telah disiasat oleh USPM semenjak tertubuhnya unit berkenaan pada 16 Ogos 2011.

    Kesedaran mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Melalui penyampaian maklumat dan kefahaman sedemikian yang jelas kepada pemimpin akar umbi serta agensi-agensi berkaitan, usaha membanteras jenayah itu, dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

    PPDB menghargai kerjasama berterusan daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat serta menyokong inisiatif pencegahan, demi memastikan negara kekal bebas daripada ancaman Jenayah Pemerdagangan Orang.

    Atas & Bawah: Antara suasana semasa taklimat berkenaan.

    Sesi bergambar ramai semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda