PEKANBARU, 20 JULAI – Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di beberapa bahagian pulau Sumatera Indonesia dikesan di Malaysia hari ini, kata pegawai.
Kebakaran hutan dan gambut merupakan masalah tahunan di Indonesia yang merenggangkan hubungan dengan negara jiran. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, asap daripada kebakaran telah menyelubungi bahagian Indonesia, Singapura, Malaysia dan selatan Thailand.
Beberapa kawasan di wilayah Riau, Indonesia masih diselubungi jerebu tebal, walaupun asap yang membahayakan belum didaftarkan di ibu kota wilayah Pekanbaru, kata Timbalan Ketua Polis Riau, Adrianto Jossy Kusumo.
Beliau berkata, lebih 140 kebakaran hutan dan tanah gambut dilaporkan berlaku di wilayah itu. Daerah Rokan Hilir dan Rokan Hulu merupakan kawasan yang paling teruk dilanda kebakaran yang membakar kira-kira 46 hektar di kedua-dua daerah itu, mengakibatkan pencemaran jerebu teruk di seluruh kawasan itu yang mengurangkan jarak penglihatan kepada serendah satu kilometer.
Jumlah kebakaran menurun daripada 294 kebakaran kelmarin selepas pihak berkuasa berjaya memadamkan kebakaran di beberapa tempat, kata Kusumo.
Beliau berkata jerebu telah menyebabkan kualiti udara di Riau menjadi lebih teruk, akan tetapi secara keseluruhan ia tidak menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan lain di wilayah itu.
Bagaimanapun, berdasarkan imej satelit daripada Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik di Pekanbaru, jerebu dikesan bergerak ke arah timur laut dan sampai ke Teluk Kemang di negeri Negeri Sembilan Malaysia, kata peramal yang bertugas, Gita Dewi. – AFP
