Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerebu dan panas: Sekolah disaran kurangkan aktiviti

    KUCHING, 29 JULAI – Pengurusan sekolah di Sarawak dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar bilik darjah bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada masalah kesihatan susulan keadaan berjerebu dan cuaca panas berterusan.

    Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sekiranya terdapat keperluan untuk menjalankan aktiviti luar kelas melibatkan pelajar, ia boleh dilaksanakan di dalam bangunan bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada situasi yang melanda negeri itu.

    “Macam biasalah kalau jerebu, kalau kegiatan aktiviti di luar memang kita tidak digalakkan. Sebab dari segi kualiti udaranya, tidak selamat kerana berjerebu.

    “Kita juga kena ambil langkah pencegahan dan berwaspada, kerana bacaan jerebu juga tinggi dan dapat hidu bau asap yang kuat semasa cuaca seperti ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Penajaan Pendidikan 2025 Petronas Memperkasakan Ilmu, hari ini.

    Beliau turut menyarankan pihak sekolah menjalankan aktiviti kokurikulum dan sukan di dalam bangunan bagi menjaga kesihatan pelajar khususnya mereka yang menghidap asma, selain menggalakkan penggunaan pelitup muka sebagai langkah pencegahan terhadap kesan buruk jerebu.

    “Pihak sekolah juga diminta sentiasa memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sebelum membuat sebarang tindakan,” katanya.

    Sementara itu, media tempatan turut melaporkan hari ini, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mengesan kualiti udara pada tahap sederhana di semua 18 stesen pemantauan di seluruh Sarawak, hari ini.

    Antaranya di Lundu mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 88 berbanding 79 yang direkodkan pada 4 petang semalam dan setakat 8 pagi hari ini, manakala Kuching pula kekal pada 74. – Bernama

    Datuk Seri Fatimah Abdullah ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Penajaan Pendidikan 2025 PETRONAS Memperkasakan Ilmu di Kuching, pada 29 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda