Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerebu dijangka tidak jejaskan S’wak tahun ini

    KUCHING, 31 Julai – Sarawak dijangka tidak terjejas teruk jerebu akibat oleh kebakaran tanah dan hutan di Kalimantan, Indonesia tahun ini, kata Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Peter Sawal.

    Beliau berkata biarpun negeri ini dijangka tidak terkesan akibat jerebu merentasi sempadan, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga mengawal jerebu yang berlaku berpunca daripada aktiviti tempatan.

    Kata beliau, NREB mempunyai tiga stesen pengawasan kualiti udara di Lawas, Lubok Antu dan Tebedu manakala sebuah lagi stesen bakal dibuka di Lundu tahun ini, sementara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak memiliki 12 stesen pemantauan di seluruh negeri.

    “Hasil pemantauan, kita mendapati sebelum ini angin dari Kalimantan bergerak terus ke Sarawak, namun begitu pergerakannya sudah dilihat berubah dan tidak menuju ke Sarawak secara direct,” katanya.

    Kakitangan Kawalan Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) memantau lokasi pembakaran terbuka (hotspot) ketika lawatan media di Pusat Pemantauan Jarak Jauh Alam Sekitar NREB, hari ini. – Bernama

    Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai taklimat persediaan menghadapi jerebu, di Menara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) Sarawak di sini hari ini. Hadir sama Ketua Penolong Pengarah JAS Sarawak, Amirul Aripin serta Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak, Datuk Mohamad Morshidi Mustapha.

    Mengulas mengenai jerebu berpunca aktiviti di Sarawak pula, Peter berkata sejak beberapa tahun lalu, pihaknya bersama agensi-agensi berkaitan telah berjaya mengawal aktiviti yang boleh menyebabkan jerebu berlaku. “Kita akan bekerjasama dengan JAS melibatkan aktiviti pemantauan dan akan mendapatkan khidmat nasihat daripada UKPN berkenaan dengan penguatkuasaan serta tindakan undang-undang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda