JAKARTA, 6 OGOS – Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini memberi amaran pegawai-pegawai tertinggi akan disingkirkan jika mereka gagal membasmi kebakaran hutan berleluasa yang menjadi punca jerebu bertoksik di Malaysia dan Singapura.
Amaran kepada para pegawai itu dibuat ketika Indonesia berhadapan tekanan daripada jiran-jirannya untuk memadamkan kebakaran, yang dipersalahkan kerana menjejaskan kualiti udara di sebahagian besar negara-negara Asia Tenggara.
“Saya sudah memaklumkan ketua tentera dan polis untuk memecat orang-orang yang tidak menangani kebakaran hutan,” menurut Widodo pada satu mesyuarat menteri mengenai isu itu di Jakarta.
“Kita akan malu kepada negara-negara lain jika kita tidak menyelesaikan masalah jerebu ini. Tidak kira betapa kecil pun api itu, padamkan ia segera,” tambahnya.
Para pegawai dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei membincangkan isu pencemaran itu pada satu mesyuarat tahunan di Brunei yang berakhir hari ini, menurut kementerian alam sekitar Malaysia.
Malaysia akan meminta peserta untuk mengambil ‘tindakan pro-aktif’ bagi memastikan kebakaran hutan dan hutan gambut di negara-negara Asia Tenggara dikawal untuk mengelak jerebu, menurut kementerian itu menjelang mesyuarat.
Malaysia mengalami jerebu di sekitar Kuala Lumpur dan barat Semenanjung Malaysia kerana kebakaran di pulau Sumatera dan di bahagian Borneo, Indonesia.
Kualiti udara turun ke paras tidak sihat di sebahagian Malaysia minggu lalu. Keadaannya lebih baik hari ini, dengan kualiti udara direkodkan ‘sederhana’ di kebanyakan tempat. Manakala langit di Singapura tampak berjerebu dan agensi alam sekitar mengatakan kualiti udara adalah sederhana. – AFP
