JAMBI, 5 OKT – Sebuah bandar raya Indonesia dengan penduduk ratusan ribu telah menutup sekolah selama tiga hari kerana jerebu yang disebabkan oleh kebakaran terlarang di tanah gambut, kata datuk bandarnya baru-baru ini.
Musim kemarau yang berpanjangan telah meningkatkan risiko kebakaran hutan di pulau-pulau utama negara kepulauan itu, mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kebakaran hutan berjerebu yang juga memberi kesan kepada, Malaysia dan Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bandar Jambi di pulau Sumatera Barat, yang mempunyai penduduk kira-kira 600,000, telah memaksa pelajar mengikut pengajian secara dalam talian dari rumah disebabkan oleh jerebu beracun itu.
“Jerebu tebal menyebabkan kami terpaksa menangguhkan pelajar dari prasekolah hingga sekolah rendah,” kata Datuk Bandar, Syarif Fasha kepada pemberita di dewan bandar Jambi.
Larangan ke sekolah tersebut bermula Isnin hingga kelmarin, tetapi akan dilanjutkan jika jerebu berterusan, katanya.
Pihak berkuasa mengatakan jerebu berpunca daripada kebakaran di tempat lain, tanpa menyatakan butiran. Kebakaran tanah gambut telah berlaku di wilayah jiran Palembang selama lebih sebulan.
Pada Isnin, tahap kualiti udara di Jambi mencapai 154 PM2.5 – zarah halus yang boleh meresap ke dalam paru-paru – pada tahap tidak sihat, 11.4 kali ganda daripada nilai kualiti udara tahunan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kerajaan tempatan juga menggesa penduduk untuk memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar kerana kualiti udara semakin merosot.
Ia telah mengedarkan pelitup muka di jalanan dan di pasar, menurut seorang wartawan AFP. – AFP


