Jermain Defoe hukum Liverpool

LONDON, 3 Jan – Jermain Defoe menjaringkan dua gol penalti ketika pasukan ketiga tercorot Sunderland menghalang Liverpool daripada merapatkan jurang dengan pendahuluan Chelsea di puncak Liga Perdana selepas seri 2-2 semalam.

Liverpool mendahului dua kali, menerusi Daniel Sturridge dan Sadio Mane, tetapi dua sepakan penalti Defoe bermakna Chelsea akan melebarkan jurang lapan mata jika menang di Tottenham Hotspur, esok.

“Saya tidak dapat menjelaskannya kerana saya tidak tahu apa yang saya lihat,” kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp pada sidang media. “Pasukan yang berjuang, tetapi tidak pasti jika mereka boleh melakukannya.”

Manchester City kehilangan arah selepas tewas 1-0 di Liverpool menjelang Tahun Baru, tetapi mereka kembali bangkit dengan kemenangan 2-1 di laman sendiri menentang Burnley biarpun Fernandinho dibuang padang pada separuh masa pertama.

Liverpool yang dinafikan kemenangan liga kelima berturut-turut, ketinggalan lima mata di belakang Chelsea di tangga kedua dan City pula ketinggalan dua mata di tangga ketiga.

Jermain Defoe menjaringkan gol kedua Sunderland melalui sepakan penalti ketika menentang Liverpool di Stadium of Light, kelmarin. – AP
Jermain Defoe menjaringkan gol kedua Sunderland melalui sepakan penalti ketika menentang Liverpool di Stadium of Light, kelmarin. – AP

Klopp membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan Sturridge menggantikan Jordan Henderson yang mengalami kecederaan dan penyerang England itu memberikan pendahuluan pasukan pada minit ke-19 di Stadium of Light.

Dejan Lovren terlepas voli dari tendangan sudut, tetapi Sturridge bertindak pantas untuk mendapatkan bola dan meledakkan jaringan menewaskan penjaga gol Sunderland, Vito Mannone menerusi tandukan.

Defoe menyamakan kedudukan enam minit kemudian, menjaringkan gol ke-10 liga musim ini menerusi sepakan penalti selepas Didier N’Dong dikasari Ragnar Klavan.

Mane meletakkan pendahuluan untuk Liverpool pada minit ke-72 denganmenyudahkan jaringan menerusi sepakan sudut, tetapi kemudian bolos sepakan penalti kerana bola terkena tangan membolehkan Defoe menyamakan kedudukan untuk kali kedua dalam tempoh enam minit.

“Tidak ada pun faul sebelum sepak mula bagi penalti kedua,” tambah Klopp mengulas lanjut mengenai insiden malang pasukannya di Stadium of Light.

“Anda memerlukan sedikit nasib, tetapi Sunderland bekerja keras dan mungkin layak mendapatkan keputusan itu.”

Memburukkan lagi kekecewaan Liverpool apabila Sturridge mengalami kecederaan dan terpaksa dibantu menuju terowong pada wisel penamat. – AFP