Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman beri amaran krisis bantuan global susulan penutupan USAID

    BERLIN, 3 JULAI – Menteri Pembangunan Jerman, Reem Alabali-Radovan memberi amaran mengenai kesan serius terhadap golongan miskin di seluruh dunia susulan penutupan rasmi Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), lapor agensi berita Jerman dpa.

    “Jerman mahupun Eropah tidak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Amerika Syarikat (AS), yang selama ini merupakan penyumbang bantuan terbesar dunia. Namun kita perlu mencegah berlakunya malapetaka yang lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

    Selasa lalu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengumumkan penamatan rasmi USAID, agensi utama Washington dalam menyalurkan bantuan luar selama beberapa dekad. Beliau mempertahankan keputusan tersebut dengan alasan bahawa matlamat pembangunan jarang dicapai dan sebaliknya, ketidakstabilan serta sentimen anti-Amerika dilihat semakin meningkat.

    Alabali-Radovan daripada Parti Demokratik Sosial (SPD) menyatakan bahawa dengan penarikan AS, Jerman kini menjadi penyumbang utama dalam banyak sektor.

    “Saya mahu menggunakan kedudukan baharu ini untuk menyusun semula kerjasama antarabangsa secara strategik,” katanya. 

    Beliau juga berkata bahawa beliau bergantung kepada kerjasama yang lebih erat dalam Kesatuan Eropah dan pembaharuan bagi memperkukuh keupayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghadapi masa depan tanpa USAID. USAID sebelum ini menjalankan pelbagai program bantuan global merangkumi rawatan HIV/AIDS hingga kepada pemulihan pasca-konflik.

    Satu kajian dalam jurnal The Lancet baru-baru ini, memberi amaran bahawa pemotongan terhadap agensi itu boleh menyebabkan lebih 14 juta kematian dalam tempoh lima tahun akan datang dan kira-kira lima juta daripadanya melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun. – Bernama/dpa

    Marco Rubio bercakap kepada media sebelum mesyuarat Indo-Pasifik Quad di Jabatan Negara di Washington pada 1 Julai. Jerman beri amaran krisis bantuan global susulan penutupan USAID oleh beliau.- Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda