BERLIN, 4 JAN – Jerman kelmarin menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan dengan kadar segera, memberikan amaran bahawa perluasan konflik Israel-Hamas tidak boleh diketepikan selepas serangan dron di Beirut membunuh seorang pemimpin kanan Hamas.
“Semua warga Jerman, yang masih berada di Lubnan, diminta untuk mendaftar dalam senarai persediaan krisis ELEFAND dan meninggalkan negara tersebut secepat mungkin,” tulis Kementerian Luar Jerman di X.
Amaran tersebut dikeluarkan selepas mesyuarat unit krisis kerajaan Jerman diadakan kelmarin.
“Kemerosotan situasi dan pengembangan konflik tidak dapat dielakkan, terutamanya dengan pembunuhan Saleh al-Aruri,” tulis kementerian itu, merujuk kepada pemimpin kedua Hamas di Beirut pada Selasa.
“Ini terpakai terutamanya di bahagian selatan Lubnan, termasuk kawasan bandar selatan Beirut.”
Walaupun Israel tidak membuat sebarang pengakuan, sumber keselamatan Lubnan, Hamas dan Hizbullah menyalahkan Israel atas pembunuhan al-Aruri, 57, salah seorang pengasas sayap tentera Hamas. – AFP
