Tuesday, January 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman giat tangani penularan penyakit kaki dan mulut

    BERLIN, 13 JAN – Jerman hari ini mengambil langkah berjaga-jaga untuk membendung penyebaran penyakit kaki dan mulut, ketika wabak virus tersebut mengancam eksport pertanian negara itu.

    Korea Selatan dan Mexico telah memaklumkan Berlin bahawa mereka akan menghentikan import daging khinzir dari Jerman sambil mengawal kes-kes wabak itu, kata seorang jurucakap kementerian pertanian Jerman.

    “Kita kini perlu menunggu dan melihat bagaimana perkara ini berkembang dalam beberapa hari akan datang,” kata jurucakap Michael Hauck kepada wartawan dalam sidang media.

    Ketua kesatuan petani Jerman, Joachim Rukwied, menyatakan penyakit itu mengancam pemilik ternakan dengan kerugian yang “besar”.

    “Pasaran eksport akan terjejas” jika virus itu dibiarkan merebak, kata Rukwied kepada akhbar Rheinische Post. “Kecekapan dan ketegasan adalah penting. Segala usaha mesti dilakukan untuk mengawal wabak ini.”

    Seorang pengunjung melihat pagar zoo Tierpark yang tertutup pada 13 Januari. – AFP

    Tiga kes penyakit kaki dan mulut telah dilaporkan dalam kalangan kerbau air di sebuah ladang berhampiran Berlin pada Jumaat, iaitu insiden pertama virus itu dilaporkan di Jerman sejak tahun 1988.

    Penyakit kaki dan mulut ialah jangkitan virus yang mudah merebak, tidak berbahaya kepada manusia tetapi memberi kesan kepada lembu dan haiwan berkuku belah lain, termasuk kambing biri-biri dan khinzir.

    Gejalanya termasuk demam dan lepuh di bahagian mulut serta berhampiran kuku.

    Tiga kerbau air yang dijangkiti telah mati dan 11 haiwan lain dalam kumpulan itu telah dimusnahkan.

    Zon pengecualian sejauh 3km telah ditetapkan di sekitar ladang tempat kerbau tersebut dipelihara di wilayah Brandenburg timur yang mengelilingi Berlin.

    Larangan pengangkutan ternakan berisiko dan produk daging di Brandenburg selama 72 jam dijangka berakhir pada malam ini.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, 55 haiwan lain yang diberi makan jerami dari ladang yang terjejas dijadualkan dimusnahkan pada hari ini, menurut RBB.

    Sepanjang hujung minggu, dua zoo di Berlin kekal ditutup kepada orang awam sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda