Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman hapus komponen Huawei, ZTE dalam rangkaian 5G

    BERLIN, 12 JULAI – Jerman mengumumkan kelmarin bahawa ia akan menghapuskan penggunaan komponen daripada gergasi telekomunikasi China, Huawei dan ZTE, dalam rangkaian 5Gnya beberapa tahun akan datang kerana bimbang akan keselamatan negara.

    Langkah itu adalah yang terbaharu oleh Berlin untuk mengurangkan pergantungan ekonominya kepada Beijing, yang dikhuatiri sesetengah pihak telah menjadikannya terdedah dan mengikuti amaran dari EU bahawa syarikat-syarikat tersebut menimbulkan risiko kepada blok tersebut.

    Komponen daripada Huawei dan ZTE tidak lagi akan digunakan dalam rangkaian mudah alih 5G ‘teras’ menjelang akhir 2026 paling lewat, menurut kementerian dalam negeri di Berlin.

    Dalam infrastruktur akses dan penghantaran 5G, sistem syarikat telekomunikasi tersebut mesti digantikan menjelang akhir 2029.

    “Kami melindungi sistem saraf pusat Jerman sebagai lokasi perniagaan dan kami melindungi komunikasi warganegara, syarikat dan negara,” kata Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser.

    “Kami mesti mengurangkan risiko keselamatan dan tidak seperti sebelumnya bagi mengelakkan kebergantungan satu pihak.”

    Kementerian itu berkata bahawa rangkaian 5G adalah sebahagian daripada ‘infrastruktur kritikal’ Jerman dan penting untuk fungsi sektor-sektor dari kesihatan hingga pengangkutan dan tenaga.

    Rangkaian telekomunikasi mesti dilindungi daripada serangan siber, yang boleh menjadi ‘ancaman eksistensial’, tambahnya.

    Pegawai telah mencapai persetujuan dengan pengendali rangkaian 5G Jerman, Deutsche Telekom, Vodafone dan Telefonica, mengenai larangan Huawei dan ZTE.

    Sumber kerajaan telah menunjukkan pada bulan September tahun lalu bahawa Berlin sedang mempertimbangkan langkah sedemikian, walaupun tarikh yang diumumkan adalah lebih lewat daripada yang asalnya dibayangkan untuk memberi syarikat masa untuk menerima pakai langkah-langkah baru tersebut. – AFP

    Pengunjung melawat pameran Huawei dan ZTE semasa di Dewan Pelbagai Fungsi Pusat Ekspo Shanghai di Shanghai, China pada 4 Julai lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda