Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman haramkan aktiviti Hizbullah

    BERLIN, 30 APRIL – Jerman hari ini mengharamkan sepenuhnya gerakan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan daripada menjalankan aktiviti di negaranya, tatkala polis menggeledah masjid dan tempat yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

    Seperti Kesatuan Eropah, Jerman sehingga sekarang hanya mengharamkan cabang tentera Hizbullah sementara menerima cabang politiknya.

    Namun dalam satu peralihan yang dialu-alukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kementerian dalam negeri Jerman berkata ia menganggap gerakan itu sebagai ‘pertubuhan pengganas Syiah’ sekarang.

    “Hizbullah ialah pertubuhan pengganas yang dianggap bertanggungjawab ke atas pelbagai serangan dan penculikan di seluruh dunia,” beritahu Menteri Dalam Negeri Horst Seehofer kepada akhbar Jerman Bild.

    Menteri dalam negeri ‘telah mengharamkan operasi kumpulan’ di Jerman berkuat kuasa hari ini, kata jurucakapnya.

    Pegawai polis membawa kotak keluar dari Masjid Al-Irschad ketika satu serbuan kelmarin di Berlin. – AFP

    “Bahkan dalam masa krisis, kedaulatan undang-undang ditegakkan,” tulis beliau.

    Penggeledahan dilakukan di beberapa tempat di seluruh negara, tambah beliau.

    Puluhan polis dan anggota khas menyerbu masjid dan persatuan yang dikaitkan dengan Hizbullah di Bremen, Berlin, Dortmund dan Muenster pada awal pagi ini, lapor media Jerman.

    Masjid Al-Irshad di Berlin ditutup dengan sekurang-kurangnya 16 van polis diletak di luar, menurut seorang jurugambar AFP. Pegawai polis bertopeng dilihat berjalan masuk dan keluar dari masjid.

    Walaupun Hizbullah tidak mempunyai kehadiran rasmi di Jerman, anggota keselamatan menganggarkan ia mempunyai kira-kira 1,000 anggota dalam negara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda