Jerman kenakan caj ujian COVID-19 kepada yang enggan divaksin

BERLIN, 11 OGOS – Tiada lagi ujian saringan COVID-19 percuma untuk golongan yang enggan menerima vaksin, kata Canselor Angela Merkel kelmarin.

“Kita sedang menawarkan vaksinasi secara percuma untuk seluruh rakyat di Jerman, dan kita akan tamatkan ujian saringan COVID-19 secara percuma pada 11 Oktober,” kata Merkel pada sidang media di Berlin.

Menurut Agensi Berita Anadolu, Merkel menggesa semua warga Jerman untuk mendapatkan suntikan vaksin berikutan kes jangkitan semakin bertambah.

Pihak berkuasa mungkin menetapkan peraturan untuk rakyatnya memaparkan perakuan vaksinasi dan ujian saringan COVID-19 di tempat tertutup seperti hospital, restoran atau pusat kesihatan, sekiranya kadar jangkitan harian meningkat 35 bagi setiap 100,000 penduduk.

Mesyuarat tersebut memutuskan selepas 11 Oktober mereka yang enggan menerima vaksin perlu membayar perkhidmatan ujian saringan COVID-19. 

Ujian percuma hanya diberikan kepada golongan wanita hamil, kanak-kanak dan mereka di bawah usia 18 tahun. – Bernama