Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman kukuhkan rekod cemerlang

    PARIS, 13 SEPT – Pasukan Jerman berjaya menewaskan Chile, sekali gus meneruskan rekod cemerlang selepas dua pertemuan di peringkat kumpulan Piala Davis kelmarin.

    Sementara itu Kanada, Australia dan Belanda turut mencatat kemenangan.

    Walaupun tanpa empat pemain teratas mereka, termasuk pemain nombor dua dunia Alexander Zverev, Jerman menguasai perlawanan Kumpulan C dengan kemenangan 3-0 menentang Chile di Zhuhai, China. Kumpulan itu turut disertai oleh Amerika Syarikat (AS) dan Slovakia.

    Di Manchester, England, Kanada menewaskan Finland 3-0 tanpa kehilangan satu set pun dalam Kumpulan D, manakala Australia mencatatkan kemenangan dengan keputusan yang sama menentang Republik Czech yang mengalami kecederaan dalam Kumpulan B di Valencia, Sepanyol.

    Dalam Kumpulan A di Bologna, Itali, Belanda memenangi perlawanan beregu untuk mengatasi Brazil 2-1.

    Di Zhuhai, Maximilian Marterer, pemain ranking ke-104 dunia dan Yannick Hanfmann, yang menduduki tempat ke-96, memenangi perlawanan perseorangan mereka dengan straight set. Marterer menewaskan Tomas Barrios Vera, manakala Hanfmann mengalahkan pemain ranking ke-22 dunia, Alejandro Tabilo, dengan keputusan 7-5, 6-4.

    Aksi pemain Jerman Kevin Krawietz (kanan) dan pemain Jerman Tim Puetz bermain menentang pemain Hungary semasa perlawanan tenis beregu Kelayakan Piala Davis pada 3 Februari lalu. – AFP

    Dalam perlawanan beregu, Kevin Krawietz dan Tim Puetz bergandingan menewaskan Barrios Vera dan Matias Soto 6-1, 6-3.

    “Sebelum perlawanan pertama, kami berkata ‘baiklah, kita perlu menang enam daripada sembilan perlawanan’,” kata kapten Jerman, Michael Kohlmann. Jerman juga menewaskan Slovakia 3-0 pada Selasa.

    “Sekarang kami telah menang enam daripada enam. Saya rasa itu cukup mengagumkan.” Jerman akan berdepan AS, juara 32 kali, esok. Chile yang tewas 3-0 kepada AS pada Rabu akan bertemu Slovakia pada Ahad.

    Di Manchester, Felix Auger Aliassime, pemain ranking ke-21 dunia, memberikan pendahuluan kepada Kanada dengan kemenangan 6-2, 6-3 ke atas pemain Finland, Otto Virtanen yang berada di kedudukan ke-110 dunia. Denis Shapovalov, pemain ranking ke-100 ATP, kemudian menewaskan Eero Vasa yang menduduki tempat ke-360, 7-6 (7/2), 6-2.

    Kedua-dua pemain Kanada itu kemudiannya bergandingan dalam perlawanan beregu, menewaskan Virtanen dan Harri Heliovaara 6-2, 7-5. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda