Jerman lanjut sekatan hingga Januari

BERLIN, 26 NOV – Jerman melanjutkan perintah sekatan bagi mengurangkan kes jangkitan COVID-19 yang sedang dikuatkuasa ketika ini hingga awal Januari tahun hadapan.

Canselor Jerman, Angela Merkel semalam mengesahkan perkara itu dan berkata perintah itu akan diteruskan hingga tempoh berkenaan kecuali terdapat penurunan ketara jangkitan virus walaupun mengakui ia tidak mungkin berlaku.

Katanya, langkah yang diperkenalkan sejak awal bulan ini, termasuk mengehadkan jumlah perhimpunan tertutup dan menutup restoran, kemudahan sukan dan rekreasi serta budaya tidak boleh ditamatkan berikutan trend peningkatan jangkitan kes ketika ini.

“Perintah kawalan ini diteruskan pada awalnya hingga 20 Disember ini namun disebabkan kes jangkitan masih tinggi maka peraturan perintah sekatan ini akan terus dilaksana hingga awal Januari tahun hadapan, “ katanya.

Melalui peraturan perintah sekatan itu, ia bermakna penutupan restoran, bar, kemudahan rekreasi, sukan dan tempat tarikan budaya akan diteruskan di negara ekonomi terbesar di Eropah itu.

Namun, sekolah dan kedai akan kekal dibuka dalam tempoh berkenaan.

Bermula 1 Disember ini, perhimpunan tertutup akan hanya dihadkan kepada lima orang daripada dua isi rumah berbanding 10 orang yang dibenarkan sekarang. – AFP

Gambar menunjukkan Canselor Jerman Angela Merkel (kiri) menyampaikan ucapan semasa sesi parlimen Bundestag kelmarin di Berlin mengenai langkah-langkah mengawal penularan koronavirus. – AFP