PARIS, 12 OKT – Dua jaringan hasil Timo Werner semalam membantu Jerman untuk menempah tiket ke Piala Dunia 2022 selepas mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Macedonia Utara, namun Belgium terpaksa menunggu sehingga bulan depan setelah Wales melakar kemenangan tipis ke atas Estonia.
Pasukan kendalian Hansi Flick berjaya membalas dendam setelah dikejutkan tewas 2-1 kepada Macedonia sebelum ini untuk meraih kemenangan ketujuh daripada lapan perlawanan kelayakan dan menjarakkan kelebihan lapan mata di puncak Kumpulan J, dengan berbaki dua perlawanan.
“Kami kini mencatatkan lima kemenangan daripada lima perlawanan musim ini,” kata jurulatih Jerman, Flick memberitahu RTL.
“Pujian harus diberikan kepada pemain atas sikap mereka. Pada separuh masa pertama keadaan sedikit tidak terkawal namun mereka gembira kerana memenangi perlawanan dan layak ke Piala Dunia.”
Jerman menuju ke perlawanan yang berlangsung di Skopje mengetahui mereka mampu menempah slot sekiranya mereka menang dan Armenia gagal menewaskan Romania.
Selepas separuh masa pertama tanpa jaringan, Kai Havertz berjaya memecah kebuntuan lima minit selepas separuh masa bersambung sebelum penyerang Chelsea, Werner meledak dua gol dalam masa tiga minit untuk mengesahkan kemenangan pasukan Jerman.
Gol pertama terhasil pada minit ke-70 apabila Thomas Mueller membuat hantaran kepada Werner yang kemudian membuat percubaan melepasi penjaga gol Macedonia, Stole Dimitrievski.
Tiga minit kemudian, pemain gantian Florian Wirtz menghantar bola kepada Werner dan penyerang itu membuat tendangan lencong serta menewaskan Dimitrievski untuk mencetak gol kelima dalam lima perlawanan kelayakannya.
Jamal Musiala, 18, melengkapkan kemenangan dengan jaringan sulungnya bersama skuad kebangsaan, menjadikannya pemain termuda menjaringkan gol untuk Jerman sejak Marius Hiller meledak jaringan menentang Switzerland pada 1910.
Paling penting, jaringan Musiala telah mengesahkan kedudukan Jerman sebagai pasukan pertama, selain pasukan tuan rumah Qatar, untuk layak ke Piala Dunia 2022. – AFP