BERLIN, 25 JULAI – Jerman merancang untuk memperkenalkan semula saringan wajib bagi perkhidmatan ketenteraan ke atas lelaki berusia 18 tahun.
Ia sebagai sebahagian rancangan memperkukuh keupayaan pertahanan, menurut sumber Kementerian Pertahanan kelmarin.
Canselor konservatif, Friedrich Merz berkata usaha mempertingkat upaya ketenteraan Jerman yang semakin lemah akan menjadi keutamaan.
Ia berikutan ancaman dari Rusia dan persoalan yang dibangkitkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengenai naungan keselamatan tradisional AS untuk Eropah serta sumbangan blok itu.
Buat masa ini, usaha terbabit bertujuan menarik sukarelawan menyertai angkatan tentera, namun turut mengandungi peruntukan perkhidmatan wajib sekiranya bilangan anggota tidak mencukupi.
Sebagai sebahagian daripada undang-undang yang dijangka dibentangkan kepada Kabinet bulan depan, semua lelaki muda Jerman perlu mengisi borang soal selidik mengenai kesediaan dan keinginan mereka untuk berkhidmat dalam tentera. Bagi wanita muda, pengisian borang soal selidik adalah secara sukarela.
Mulai 2028, semua lelaki berusia 18 tahun diwajibkan menjalani saringan untuk menentukan tahap kesesuaian mereka bagi perkhidmatan ketenteraan, sama ada mereka berminat menyertai angkatan tentera atau tidak.
Undang-undang yang dirancang itu juga membolehkan perkhidmatan ketenteraan wajib diperkenalkan semula jika keadaan keselamatan memerlukannya, dengan syarat ia mendapat kelulusan daripada Parlimen.
Tahun ini, Kementerian Pertahanan menjangkakan 15,000 rekrut baharu untuk perkhidmatan ketenteraan, 5,000 lebih ramai berbanding tahun lalu. – AFP
