BERLIN, 11 JULAI – Saluran paip gas terbesar dari Rusia ke Jerman telah ditutup bagi menjalankan penyelenggaraan tahunan hari ini di tengah-tengah kebimbangan Rusia mungkin tidak akan menyambung pengeluaran gas seperti yang dijadualkan.
Saluran paip Nord Stream 1, sumber utama gas Rusia di Jerman yang dijadualkan akan diberhentikan sehingga 21 Julai bagi menjalankan rutin kerja di mana pengendali
berkata ia termasuk menguji sistem automasi dan elemen mekanikal. Pengendali berkata aliran gas dikurangkan secara progresif bermula jam 6 pagi, lapor agensi akhbar Jerman, dpa.
Pegawai Jerman meragui tujuan Rusia, terutamanya selepas syarikat Gazprom dari Rusia pada bulan lalu mengurangkan pengeluaran gas menerusi Nord Stream 1 sebanyak 60 peratus. Gazprom menyatakan ia disebabkan oleh masalah teknikal melibatkan turbin gas yang menjana stesen pemampat dikendalikan oleh rakan kongsinya, Siemens Energy dengan menghantarnya ke Kanada bagi proses penyelenggaraan, namun tidak dapat dikembalikan kerana sekatan yang dikenakan selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Kanada berkata pada hujung minggu lalu, ia akan membenarkan sebahagiannya dihantar ke Jerman, memetik ‘kesukaran yang sangat ketara’ kerana ekonomi Jerman akan terjejas tanpa bekalan gas yang mencukupi.
Ahli politik Jerman menolak penjelasan Rusia mengenai masalah teknikal dengan mengurangkan pengeluaran aliran gas pada bulan lalu menerusi Nord Stream 1, berkata keputusan itu adalah langkah politik untuk menyemai ketidakpastian dan meningkatkan harga. – AP