Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman sasar 3.5% KDNK untuk pertahanan

    BERLIN, 24 JUN – Menteri Kewangan Jerman hari ini berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara itu kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2029 ketika beliau membentangkan pelan perbelanjaan kerajaan baharu.

    Kerajaan campuran Canselor Friedrich Merz telah meluluskan rancangan di parlimen bagi membolehkan perbelanjaan pertahanan yang lebih tinggi dengan melonggarkan peraturan ketat berkaitan hutang – walaupun sebelum mengambil alih pentadbiran bulan lalu.

    Langkah itu diambil menjelang sidang kemuncak NATO yang bermula hari ini, yang bertujuan menaikkan sasaran perbelanjaan pertahanan negara anggota daripada 2 peratus KDNK kepada 3.5 peratus, ditambah 1.5 peratus lagi bagi infrastruktur yang berpotensi berkaitan pertahanan.

    Menteri Kewangan, Lars Klingbeil berkata perbelanjaan pertahanan Jerman akan mencecah 2.4 peratus KDNK tahun ini dan, “Kami akan menaikkannya secara berperingkat sehingga mencapai kuota NATO sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2029.”

    Klingbeil, yang juga Naib Canselor, menegaskan bahawa dia akan ‘memastikan wang itu dibelanjakan secara berkesan,’ antaranya dengan menggalakkan kerjasama lebih luas di peringkat Eropah dalam bidang perolehan, penyelidikan dan pembangunan.

    Selama bertahun-tahun, Jerman menerima kritikan kerana gagal mencapai sasaran perbelanjaan sedia ada sebanyak 2 peratus. Namun, sejurus selepas Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022, bekas Canselor Olaf Scholz berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 2 peratus. – AP

    Lars Klingbeil mempengerusikan mesyuarat kabinet di pejabat canselor di Berlin, Jerman, pada 18 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda