BERLIN, 9 FEB – Jerman akan menyediakan dana tambahan bernilai €25 juta (kira-kira AS$27 juta) untuk membantu mereka yang terjejas akibat gempa bumi di Syria, menurut Pejabat Luar Persekutuan Jerman menerusi Twitter.
“Sokongan kami untuk penduduk di #Syria berterusan: Jerman menyediakan @UNOCHA dengan €25 juta lagi supaya bantuan cepat sampai kepada mereka yang paling terjejas akibat #gempa bumi – tidak kira di mana di kawasan bencana mereka tinggal,” menurut pejabat itu, lapor Sputnik.
Turki dan Syria digegarkan dengan gempa bumi kuat yang melanda pada 6 Februari lalu yang telah meragut ribuan nyawa serta memusnahkan harta benda. – Bernama
