INNSBRUCK, AUSTRIA, 1 DIS – Kevin Krawietz dan Tim Puetz berjaya menewaskan pasangan beregu Britain, Joe Salisbury dan Neal Skupski dalam dua set untuk membawa pasukan Jerman mara ke pusingan separuh akhir Piala Davis, semalam.
Pasangan Jerman itu berjaya menyelamatkan empat mata set dalam pembukaan tie-break yang sengit semasa penentuan di Innsbruck sebelum berjaya mara.
Salisbury dan Skupski dilihat akan memaksa perlawanan ke set ketiga selepas bangkit mendahului 5-0 dalam satu lagi tie-break, namun Krawietz dan Puetz memenangi tujuh mata terakhir untuk mara dan bakal bertemu sama ada pasukan Rusia atau Sweden di Madrid pada Sabtu.
“Ia adalah perasaan yang hebat dan sukar dipercayai,” kata kapten Jerman, Michael Kohlmann.
“Kami mempunyai persefahaman berpasukan yang hebat. Kami mengharungi cabaran besar hari ini dan pada Ahad serta pasukan ini mampu melepasi semua cabaran yang tidak dijangkakan.”

Sementara itu, Dan Evans berjaya menyingkirkan Peter Gojowczyk, 6-2, 6-1 dalam masa 55 minit untuk memberikan Britain berada di hadapan dan bermain tanpa pasangan adik beradik, Andy dan Jamie Murray.
Akan tetapi Jan-Lennard Struff menewaskan pemain nombor satu Britain, Cameron Norrie 7-6 (8/6), 3-6, 6-2 untuk meletakkan Jerman di kedudukan seri 1-1.
Struff menyelamatkan dua set mata dalam pembukaan dan menewaskan pemain ranking ke-12, Norrie sebanyak dua kali di set penentuan untuk beraksi dalam pertemuan ‘winner-takes-all’ pasangan beregu.
“Saya sangat gembira dengan cara permainan saya hari ini, Cam Norrie adalah seorang pesaing yang hebat, yang berjuang berhabis-habisan,” kata Struff.
“Ia sangat sukar – Saya dapat rasakan saya memberikan tekanan kepadanya – saya berjaya melakukannya hari ini.”- AFP